21 Oct 2014

Muslim : Responsif atau sensitif?

Baru - baru ini Malaysia digemparkan dengan program "I want to touch a dog" di mana program ini bermatlamat untuk membantu orang ramai terutama orang yang beragama Islam mengatasi persepsi negatif pada anjing. Penganjuran program seperti ini telah melahirkan pelbagai respon baik positif atau negatif dalam kalangan umat Islam di Malaysia di mana ia dikatakan menyentuh sensitiviti dan berbentuk provokatif kepada agama Islam.
Namun, saya tidak berminat untuk memberi pandangan dari segi hukum akan penganjuran program. Hal ini kerana saya berpendapat ada orang yang lebih alim dari bidang ilmunya untuk memberi ulasan dan pendapat. Saya lebih berminat untuk memberi pendapat akan sikap yang bersarang dalam stigma pemikiran masyarakat Muslim di Malaysia iaitu sikap responsif.

Apa yang dimaksudkan dengan sikap responsif? Kesedaran akan tugas yang harus dilakukan dengan kesungguhan dan kepekaan yang tajam dalam menghadapi pelbagai hal yang dihadapinya serta kefahaman makna tanggungjawab yang harus dipikul adalah antara ciri utama dalam memiliki sikap responsif. Hal ini dapat dilihat dalam kisah nabi Sulaiman dan burung Hud – Hud. Sikap responsif ini penting dimiliki dalam sesebuah organisasi Islam sama ada dalam diri pucuk pimpinan waima ahli itu sendiri.



Walaubagaimanapun, dalam aspek responsif, ramai orang tersilap dari skop penggunaannya. Hal ini dapat dibuktikan melalui isu yang sedang “viral” di laman sosial di mana pelbagai lapisan masyarakat berlumba – lumba mengeluarkan pendapat bahkan tidak keterlaluan saya katakan sehingga ada yang berhujah menggunakan emosi melebihi hujah ilmu dan fakta. Tidak kurang juga yang bersifat responsif dengan mengeluarkan hujah yang penuh dengan sindiran, caci maki dan kata – kata keji.

Sikap responsif amat diperlukan dalam diri seorang pimpinan dalam sesebuah organisasi agar pimpinan itu lebih peka pada perubahan keadaan sekeliling. Namun, penyakit responsif yang sedang berlaku dalam masyarakat di Malaysia adalah kita cepat dan ingin memberi respon pada sesuatu isu tanpa mengkaji atau mendengar perjelasan kedua belah pihak. Daripada 1 pandang sisi, perkara ini bagus kerana melihatkan betapa kita responsif dan sensitif akan sesuatu hal terutama berkaitan agama. Tapi, tidak dapat tidak kita kena akui bahawa sikap ini juga kerap memakan diri kita di kemudian hari kerana kedangkalan kita dalam menilai.

Terkadang kita kena renungi kembali adakah penyakit responsif kita ini memberi lebih kesan positif atau negatif kepada keadaan sekeliling. Sikap responsif ini juga adakah kita memanfaatkannya dalam kehidupan seharian dalam aspek pekerjaan kita. Jika tidak, ia bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita. Kemungkinan, kita sebenarnya bukan memiliki sikap responsif, tetapi sikap sensitif tidak bertempat. Malah, sikap sensitif ini juga hakikatnya yang banyak mengambil alih diri kita selama ini. Jika ini punca masalah kita, sesuatu harus dilakukan bagi mengubah penyakit ini dari trus menapak dalam pemikiran kita.



Akhir kata, jangan kerana sikap sensitif kita ini juga, kita sering melupakan akan kesusahan orang sekeliling kita kerana ingin menjaga kepentingan peribadi kita. Soalan yang ingin ditinggalkan untuk difikirkan bersama adalah, minyak, GST dan hal hal lain dah senyap ke?

Wallahualam
Melaka

10.20am

No comments:

Post a Comment