18 Apr 2016

Genesis Metamorfosis


Genesis Metamorfosis. Pasti ramai yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan 2 patah perkataan itu. Usahkan tahu apakah maknanya, hendak menyebutnya juga sukar bagi sesetengah orang yang tidak biasa menyebut perkataan yang dikira agak bombastik.

Genesis Metamorfosis sebenarnya membawa makna yang hampir dengan fitrah manusia iaitu dengan kata lain ia membawa maksud titik perubahan. Sejujurnya tajuk kali ini diilhamkan daripada sebuah buku yang ditulis oleh anak muda yang besar jiwanya. 

"Aku lebih rela perit mencari titik perubahan,
jika itu temukan aku dengan Tuhan"

Genesis Metamorfosis atau titik perubahan ini sebenarnya boleh dipecahkan kepada 2 jalan iaitu sama ada menuju menelusuri jalan kebaikan atau jalan kejahatan. Jalan mana yang kita pilih, ia akan menentukan kita sebenarnya menempa jiwa manusia yang bagaimana. Malah, setiap jalan yang terbentang di hadapan kita juga mempunyai mehnah dan tribulasinya tersendiri. Sejujurnya, pilihan di tangan kita sendiri dan  setap kesannya juga akan ditanggung oleh kita sendiri.

Titik perubahan ini biasanya tidak akan berlaku dengan sendirinya. Sebaliknya pasti ada kejadian atau peristiwa yang menjadi titik tolak akan berlakunya titik perubahan dalam diri kita sekaligus membentuk peribadi kita pada masa akan datang. Justeru, jadikan titik perubahan kita itu sentiasa ke arah kebaikan dan jangan sesekali berputus harap dengan kebaikan. Kerana sinar kebaikan itu tidak pernah kalah dengan kejahatan.

Setiap manusia itu sebenarnya suka akan kebaikan bahkan ianya sebenarnya begitu hampir dengan jiwa kita. Walau sekejam dan sejahat bagaimanapun seseorang itu, tiada siapa yang dapat nak menafikan jauh di lubuk hatinya yang ia begitu senang melihat akan kebaikan. Hal ini kerana Tuhan sebenarnya telah menciptakan manusia ini sesuai dengan fitrahnya iaitu suka akan kebaikan. Cuma persekitaran sekeliling dan jiwa yang telah dikaburi dengan nafsu yang menutup hati kita untuk terus melangkah menghampiri kepada kebaikan.

Jika kita masih ingin menafikannya, duduklah sejenak di tempat yang sunyi dan carilah ketenangan dalam jiwa sebelum tanya jauh di sudut hati kita. Tanyalah soalan itu dan carilah ia hingga ke dasar hatimu. Benarkah kita sebenarnya benci akan kebaikan atau sebenarnya kita sebenarnya menafikan akan cintanya kita dengan kebaikan.

"Keikhlasan itu indah, tersangat indah. Keikhlasan itu kekuatan yang tidak dapat dikalahkan. Keikhlasan itu tidak dapat diukur, tapi pasti dapat diuji."
(Syeikh Prof Dr. Mutawwali Sya'rawi)

Kebaikan dan keikhlasan sebenarnya mempunyai hubungkait yang sangat dekat dan saling melengkapi bahkan kedua elemen ini juga mempunyai persamaan iaitu pasti akan sentiasa diuji. Yakinlah, kebaikan itu pasti akan diuji akan keikhlasannya. Diuji sehingga goyah keikhlasan melakukannya, diuji sehingga hampir berputus asa dan pasti akan diuji sehingga kita sendiri ragu dengan diri sendiri.

Namun, tabahlah dan yakinlah dengan jalan yang telah kita pilih. Pasti ada sinar di hujung jalan dan janganlah sesekali berputus harap dengan kebaikan apatah lagi dengan rahmat ALLAH. Mereka yang berputus asa dengan ALLAH tiada bezanya dengan mereka yang tidak yakin dengan agamanya. Semoga kita semua dijauhkan dari sikap sedemikian.

Terus melangkah menuju kebaikan,
Pasti dikau tersenyum gembira.
Usah melangkah menuju kejahatan,
Hatimu pasti sentiasa gundah gelana.

No comments:

Post a Comment