21 Oct 2014

Muslim : Responsif atau sensitif?

Baru - baru ini Malaysia digemparkan dengan program "I want to touch a dog" di mana program ini bermatlamat untuk membantu orang ramai terutama orang yang beragama Islam mengatasi persepsi negatif pada anjing. Penganjuran program seperti ini telah melahirkan pelbagai respon baik positif atau negatif dalam kalangan umat Islam di Malaysia di mana ia dikatakan menyentuh sensitiviti dan berbentuk provokatif kepada agama Islam.
Namun, saya tidak berminat untuk memberi pandangan dari segi hukum akan penganjuran program. Hal ini kerana saya berpendapat ada orang yang lebih alim dari bidang ilmunya untuk memberi ulasan dan pendapat. Saya lebih berminat untuk memberi pendapat akan sikap yang bersarang dalam stigma pemikiran masyarakat Muslim di Malaysia iaitu sikap responsif.

Apa yang dimaksudkan dengan sikap responsif? Kesedaran akan tugas yang harus dilakukan dengan kesungguhan dan kepekaan yang tajam dalam menghadapi pelbagai hal yang dihadapinya serta kefahaman makna tanggungjawab yang harus dipikul adalah antara ciri utama dalam memiliki sikap responsif. Hal ini dapat dilihat dalam kisah nabi Sulaiman dan burung Hud – Hud. Sikap responsif ini penting dimiliki dalam sesebuah organisasi Islam sama ada dalam diri pucuk pimpinan waima ahli itu sendiri.



Walaubagaimanapun, dalam aspek responsif, ramai orang tersilap dari skop penggunaannya. Hal ini dapat dibuktikan melalui isu yang sedang “viral” di laman sosial di mana pelbagai lapisan masyarakat berlumba – lumba mengeluarkan pendapat bahkan tidak keterlaluan saya katakan sehingga ada yang berhujah menggunakan emosi melebihi hujah ilmu dan fakta. Tidak kurang juga yang bersifat responsif dengan mengeluarkan hujah yang penuh dengan sindiran, caci maki dan kata – kata keji.

Sikap responsif amat diperlukan dalam diri seorang pimpinan dalam sesebuah organisasi agar pimpinan itu lebih peka pada perubahan keadaan sekeliling. Namun, penyakit responsif yang sedang berlaku dalam masyarakat di Malaysia adalah kita cepat dan ingin memberi respon pada sesuatu isu tanpa mengkaji atau mendengar perjelasan kedua belah pihak. Daripada 1 pandang sisi, perkara ini bagus kerana melihatkan betapa kita responsif dan sensitif akan sesuatu hal terutama berkaitan agama. Tapi, tidak dapat tidak kita kena akui bahawa sikap ini juga kerap memakan diri kita di kemudian hari kerana kedangkalan kita dalam menilai.

Terkadang kita kena renungi kembali adakah penyakit responsif kita ini memberi lebih kesan positif atau negatif kepada keadaan sekeliling. Sikap responsif ini juga adakah kita memanfaatkannya dalam kehidupan seharian dalam aspek pekerjaan kita. Jika tidak, ia bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita. Kemungkinan, kita sebenarnya bukan memiliki sikap responsif, tetapi sikap sensitif tidak bertempat. Malah, sikap sensitif ini juga hakikatnya yang banyak mengambil alih diri kita selama ini. Jika ini punca masalah kita, sesuatu harus dilakukan bagi mengubah penyakit ini dari trus menapak dalam pemikiran kita.



Akhir kata, jangan kerana sikap sensitif kita ini juga, kita sering melupakan akan kesusahan orang sekeliling kita kerana ingin menjaga kepentingan peribadi kita. Soalan yang ingin ditinggalkan untuk difikirkan bersama adalah, minyak, GST dan hal hal lain dah senyap ke?

Wallahualam
Melaka

10.20am

14 Oct 2014

Kader Dakwah Harapan Ummah

Anak muda adalah aset dan tunjang kepada sesebuah negara. Bahkan anak muda juga merupakan aset bernilai kepada Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa kebanyakan kebangkitan mahupun kejatuhan sesebuah negara adalah disebabkan oleh anak muda. Bahkan dalam Sejarah Islam sendiri telah menceritakan pelbagai sumbangan anak muda dalam era empayar Islam berada  di puncak.

Siapa yang tidak kenal akan Sultan Muhammad al-Fateh yang telah menakluk Konstantinople pada umur 20-an. Siapa tidak kenal Saidina Ali bin Abi Talib yang menggantikan tempat tidur nabi semasa Hijrah? Peranan anak muda ini juga telah dipaterikan dalam sejarah dunia. Revolusi China 1911 dipelopori oleh anak muda iaitu Dr. Sun Yat Sen. Bahkan mutakhir ini anak muda yang hanya berusia 17 tahun telah mempelopori "Umbrella Revolution" di Hong Kong.

Assyahid Imam Hassan al-Banna telah menggariskan bahawa pemuda adalah kunci kepada kebangkitan Islam. Hal ini kerana pemuda Islam memiliki 4 asas yang merupakan antara adunan penting kepada kebangkitan Islam. 4 asas yang telah digariskan adalah :

1.    Keimanan
2.    Keikhlasan
3.    Semangat
4.    Usaha



Justeru, agenda dakwah ini tidak dapat tidak mesti dilaksanakan dan dijayakan oleh anak muda. Kader dakwah (baca: anak muda Islam) harus memasakkan impian dan tekad untuk menjayakan agenda dakwah ini. Dalam hal ini, kader dakwah disarankan mempersiapkan diri berdasarkan 10 muwasafat tarbiyah yang telah digariskan oleh assyahid Imam Hassan. Perincian seperti gambar di bawah.


Agenda dakwah yang mesti dibawa oleh kader – kader ini memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang kerana ia bersifat nasional. Jadi, kader dakwah mesti mempersiapkan diri dalam pelbagai sektor seperti sektor profesional, agamawan, keselamatan, ekonomi dan pendidikan. Tidak keterlaluan jika saya katakan agenda ini bisa tergendala jika kader gagal dalam memandang dakwah itu daripada aspek yang berbeza. Maka, setiap kader dakwah haruslah memposisikan diri agar dia mampu memberi sumbangan yang terbaik dalam menjayakan agenda dakwah ini.

Bahkan, setiap kader dakwah mesti berjiwa besar jika mahu membentuk Negara Islam yang mengikut syariat. Bukan lagi memikirkan sekadar masyarakat setempat atau berada dalam kelompok mereka (baca : eksklusif). Kader dakwah juga harus berani untuk bergelumang dalam sektor - sektor yang dirasakan selama ini tidak mengikut syariat dan menampilkan medium yang lebih menepati syariat seperti sektor seni dan ekonomi.

Jika kader itu berpotensi dalam bidang penulisan, maka dia harus memposisikan dirinya di dalam bidang kewartawanan dan menampilkan penyebaran maklumat berteraskan Islam

Jika kader itu berpotensi dalam bidang ekonomi, maka beliau haruslah berada dalam sector ekonomi dan menampilkan “Ekonomi Islam”

Jika kader itu berpotensi dalam bidang seni, maka dia harus memposisikan diri dalam industry seni dan memaparkan “Pelakon Islam” dan senarai ini akan berterusan di mana kader dakwah harus sedar di mana sumbangan yang terbaik mampu dilakukan dalam merealisikan agenda dakwah ini.

Namun, agenda dakwah ini hanya akan menjadi realiti jika kader dakwah mampu merubah pandang sisi akan konsep dakwah akan keperluan kader dakwah memposisikan diri di tempat terbaik dan menyebarkan aura Islam sehingga mempengaruhi keadaan sekeliling. Jika kader dakwah masih berfikiran sempit dan berada di takuk lama, maka agenda dakwah ini hanyalah bersifat retorik dan fantasi.

Wallahualam.
8.38pm

Melaka

9 Sept 2014

Siapa Yang Untung (Part 2)

Setahun lamanya aku meninggalkan dunia blog.
Kali ini tiba masanya berbicara mengenai realiti politik Malaysia.

Selangor antara kemelut yang panjang dan banyak menguji perpaduan PR selama ini.
Selangor juga bisa menjadi penentu sama ada PR akan terus bersama atau menjadi seperti Barisan Alternatif (BA) pada tahun 2006.

Adakah PR akan menjadi 1 lagi eksperimen Parti Pembangkang yang tidak menjadi seperti sebelum ini?
Hanya masa dan pimpinan PR yang mampu menentukan.
Tempoh matang bagi sesuatu pakatan mestilah melalui minima selama 10 tahun.

Namun, apa yang berlaku kini suka atau tidak harus diakui bahawa masing - masing mengacukan senjata antara 1 sama lain.
Sedarlah, jika musuh tidak mampu merosakkan sesebuah gerakan daripada ancaman luar, pasti akan digunakan serangan dari dalam untuk merobek gerakan tersebut.

Jika kemelut ini tidak diatasi secepat mungkin, pasti Selangor akan menjadi negeri seterusnya yang hilang ke tangan BN.
Pengundi Selangor sebenarnya sudah muak dengan kemelut politik ini tapi masih punya harapan pada PR.

Hentikanlah percakaran.
Perkukuhkan muafakat.
Kerana kepercayaan rakyat harus dikembalikan.

Kemelut ini sebenarnya melarikan fokus kita dalam politik sedangkan rakyat Malaysia ternanti - nanti akan perjuangan berteraskan rakyat.
Jika kita berhenti daripada memperjuangkan kebajikan rakyat Malaysia,
Kepada siapa lagi mereka mahu berharap membela nasib mereka?

Tapi andai percakaran masih berlaku, sudah tiba anak muda membawa semangat dan politik baru dan matang dalam arena politik Malaysia.
Sudah tiba anak muda yang mengambil alih perjuangan rakyat daripada para politik yang semakin gelap mata akan pangkat dan harta.

Anak Muda Bangkit!

Sekian,
1.21 AM
Melaka