12 May 2016

Analisa PRN Sarawak ke-11 (2016) Part 1



  • Pada 7 Mei yang lepas, di Sarawak telah berlaku 1 Pilihan Raya Negeri 2016 bagi memilih kepimpinan negeri. PRN ini diadakan pada setiap 5 tahun sekali dan keputusan kali ini menunjukkan BN menang selesa dengan memperolehi 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Dari aspek undi popular pula, BN berjaya mencatat peningkatan sebanyak 8% iaitu daripada 55% pada PRN 2011 kepada 63.88% pada PRN 2016.

  • Manakala, bagi pihak pembangkang pula, DAP hanya memperolehi 7 kerusi dan PKR sebanyak 3 kerusi. PAS dan AMANAH pula kalah di semua kerusi yang dipertandingkan. DAP juga hilang sebanyak 5 kerusi berbanding PRN 2011 dan berlaku "Giant Killing" di Piasau yang merupakan kubu kuat DAP. Manakala, PKR pula menyaksikan mereka berjaya mempertahankan 3 kerusi yang disandang sebelum ini dan berlaku pertambahan majoriti di beberapa kerusi. Bagi pihak PAS pula, mereka hilang wang deposit di 7 kerusi daripada 11 kerusi yang dipertandingkan. Sementara di pihak AMANAH pula, mereka hilang wang deposit di 9 kerusi daripada 13 kerusi yang dipertandingkan.

  • PAS dan AMANAH merupakan parti yang berasaskan agama. Pada PRN kali ini kedua pihak hanya memperoleh undi popular sebanyak 1.7% bagi PAS dan 1.24% bagi AMANAH. Hal ini membuktikan bahawa parti berasaskan agama masih belum mendapat tempat di hati masyarakat Sarawak. Jika kedua pihak masih berkira-kira mahu bertanding atau cuba mendapatkan anak sulung di Sarawak, justeru kedua pihak haruslah terus agresif dan memperkasakan jentera dalam mempromosi dan memperluaskan jenama PAS sehingga menjadi 1 norma dalam masyarakat Sarawak. Hal ini dibuktikan pada tempoh berkempen dan hari pengundian, masih ada rakyat Sarawak yang mempunyai akses maklumat yang terhad tentang PAS dan AMANAH. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi undi yang diperoleh.

  • Manakala di peringkat PKR pula, pertambahan bilangan majoriti di kerusi yang berjaya dipertahankan menunjukkan sedikit sebanyak bahawa wakil PKR berjaya melaksanakan tugas mereka selaku wakil rakyat. Hal ini dipercayai dipengaruhi oleh isu NCR yang sering diperjuangkan oleh pihak PKR. Selain daripada itu, di Telang Usan, BN hanya menang dengan majoriti kecil. Faktor majoriti yang kecil ini berhubung rapat dengan Empangan Baram yang berkait rapat dengan ekosistem. Walau bagaimanapun, PKR gagal untuk menambah sebarang kerusi dalam PRN kali ini. Antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan pertambahan kerusi adalah pertembungan sesama parti pembangkang di beberapa kerusi terutama dengan DAP sekurang-kurangnya sebanyak 6 kerusi.

  • Penurunan kerusi DAP daripada 12 kerusi kepada 7 kerusi merupakan tamparan besar bagi peringkat DAP sendiri. Jika PRU13 berlaku 'Giant Killing' di Bukit Katil, PRN kali ini menyaksikan sekali lagi ia berlaku di Piasau. Piasau merupakan salah 1 kubu kuat DAP dan faktor latar belakang calon yang ditampilkan oleh BN memainkan faktor yang kukuh dalam perampasan kerusi kali ini. Faktor kekalahan DAP di beberapa kerusi berdasarkan perpecahan dalaman dalam Pakatan Harapan. Selain daripada itu, kegagalan wakil calon yang lepas untuk menampilkan kualiti kerja yang memuaskan hati rakyat Sarawak serta kaedah kempen yang kurang digemari juga dipercayai menyumbang kepada faktor kekalahan ini.

  • Akhir kalam, jika dilihat pada setiap pertembungan sesama parti pembangkang, kita dapat melihat bahawa rakyat Sarawak ada kecenderungan untuk memilih parti yang lebih lama bertapak di Sarawak. Sebagai contoh, pertembungan antara PAS dan AMANAH menunjukkan PAS berjaya mengatasi undi berbanding AMANAH. Pertembungan antara PAS dan PKR pula akan menunjukkan PKR akan mendahului dari aspek jumlah undi. Namun demikian, Pertembungan antara PKR dan DAP menunjukkan hasil yang berbeza. Ada DUN menunjukkan DAP dan PKR mempunyai kekuatan yang setara dan ada kerusi menunjukkan sama ada PKR mahupun DAP lebih mendapat tempat di hati rakyat. Namun, ada 1 DUN pula menunjukkan kekuatan calon BEBAS lagi mendapat di hati rakyat tapi kalah tipis kepada BN kerana DAP dan PKR bertembung di kerusi yang sama.

Part 2 akan menfokuskan faktor kemenangan BN pada PRN kali ini.

24 Apr 2016

Merantaulah Anak Muda

ما في المُقامِ لذي عقلٍ وذي أدبٍ
مِنْ رَاحَة ٍ فَدعِ الأَوْطَانَ واغْتَرِب
Merantaulah...
Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman.
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang.

سافرْ تجد عوضاً عمَّن تفارقهُ
وانْصَبْ فَإنَّ لَذِيذَ الْعَيْشِ فِي النَّصَبِ
Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah.
Bermusafirlah, nescaya kamu akan mendapat ganti kepada orang yang telah kamu tinggalkan.
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

إني رأيتُ وقوفَ الماء يفسدهُ
إِنْ سَاحَ طَابَ وَإنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ
Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan.
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang.

والأسدُ لولا فراقُ الأرض ما افترست والسَّهمُ لولا فراقُ القوسِ لم يصب
Singa jika tak tinggalkan sarang, tak akan dapat mangsa.
Anak panah jika tak tinggalkan busur, tak akan kena sasaran.

والشمس لو وقفت في الفلكِ دائمة
لَمَلَّهَا النَّاسُ مِنْ عُجْمٍ وَمِنَ عَرَبِ
Jika matahari di orbitnya tak bergerak dan terus diam.
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.

والتبر كالترب ملقى في أماكنه
والعودُ في أرضه نوعاً من الحطب
Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang.
Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan.

إن تغرَّب هذا عزَّ مطلبهُ
وإنْ تَغَرَّبَ ذَاكَ عَزَّ كالذَّهَب
Andai saja gaharu tersebut keluar dari belantara hutan, ia adalah minyak wangi yang bernilai tinggi. Dan andaikata bijih itu keluar dari tempatnya, ia akan menjadi emas yang berharga.

Jika engkau tinggalkan tempat kelahiranmu, engkau akan temui darjat mulia di tempat yang baru dan engkau bagaikan emas yang sudah terangkat dari tempatnya.

Pergilah merantau untuk mencari kemuliaan karena dalam perjalanan itu ada lima kegunaan, iaitu: menghilangkan kesedihan, mendapatkan penghidupan, mendapatkan ilmu, mengagungkan jiwa, dan dapat bergaul dengan banyak orang.
─ Imam Syafie

Hampir setahun sudah aku bekerja di bumi Borneo dan sering aku sematkan di dalam jiwa agar terpateri kukuh akan pesanan Murabbiku.

Selagi mana umur masih 20-an, merantaulah mencari pengalaman dan ilmu.
Bila mencecah 30-an, mulakan dengan mencari tapak untuk mendarat.
Manakala bila mencecah 40-an, mendaratlah dan bangunkan tapak itu.

Mentarbiyah jangan sesekali dimanjakan. Kena berkeras dan survival.
Barulah mereka akan survive kerana "Only the strongest will survive",
─Abi

Justeru, merantaulah anak muda. Nescaya dikau akan terpaku dan merasa kerdilnya dirimu di bumi ALLAH ini. Niatkan musafirmu itu kerana ALLAH. Pasti dikau akan terpukul, tersentak dan menemui pelbagai jawapan akan setiap persoalan hidup yang membelenggu dirimu.

18 Apr 2016

Genesis Metamorfosis


Genesis Metamorfosis. Pasti ramai yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan 2 patah perkataan itu. Usahkan tahu apakah maknanya, hendak menyebutnya juga sukar bagi sesetengah orang yang tidak biasa menyebut perkataan yang dikira agak bombastik.

Genesis Metamorfosis sebenarnya membawa makna yang hampir dengan fitrah manusia iaitu dengan kata lain ia membawa maksud titik perubahan. Sejujurnya tajuk kali ini diilhamkan daripada sebuah buku yang ditulis oleh anak muda yang besar jiwanya. 

"Aku lebih rela perit mencari titik perubahan,
jika itu temukan aku dengan Tuhan"

Genesis Metamorfosis atau titik perubahan ini sebenarnya boleh dipecahkan kepada 2 jalan iaitu sama ada menuju menelusuri jalan kebaikan atau jalan kejahatan. Jalan mana yang kita pilih, ia akan menentukan kita sebenarnya menempa jiwa manusia yang bagaimana. Malah, setiap jalan yang terbentang di hadapan kita juga mempunyai mehnah dan tribulasinya tersendiri. Sejujurnya, pilihan di tangan kita sendiri dan  setap kesannya juga akan ditanggung oleh kita sendiri.

Titik perubahan ini biasanya tidak akan berlaku dengan sendirinya. Sebaliknya pasti ada kejadian atau peristiwa yang menjadi titik tolak akan berlakunya titik perubahan dalam diri kita sekaligus membentuk peribadi kita pada masa akan datang. Justeru, jadikan titik perubahan kita itu sentiasa ke arah kebaikan dan jangan sesekali berputus harap dengan kebaikan. Kerana sinar kebaikan itu tidak pernah kalah dengan kejahatan.

Setiap manusia itu sebenarnya suka akan kebaikan bahkan ianya sebenarnya begitu hampir dengan jiwa kita. Walau sekejam dan sejahat bagaimanapun seseorang itu, tiada siapa yang dapat nak menafikan jauh di lubuk hatinya yang ia begitu senang melihat akan kebaikan. Hal ini kerana Tuhan sebenarnya telah menciptakan manusia ini sesuai dengan fitrahnya iaitu suka akan kebaikan. Cuma persekitaran sekeliling dan jiwa yang telah dikaburi dengan nafsu yang menutup hati kita untuk terus melangkah menghampiri kepada kebaikan.

Jika kita masih ingin menafikannya, duduklah sejenak di tempat yang sunyi dan carilah ketenangan dalam jiwa sebelum tanya jauh di sudut hati kita. Tanyalah soalan itu dan carilah ia hingga ke dasar hatimu. Benarkah kita sebenarnya benci akan kebaikan atau sebenarnya kita sebenarnya menafikan akan cintanya kita dengan kebaikan.

"Keikhlasan itu indah, tersangat indah. Keikhlasan itu kekuatan yang tidak dapat dikalahkan. Keikhlasan itu tidak dapat diukur, tapi pasti dapat diuji."
(Syeikh Prof Dr. Mutawwali Sya'rawi)

Kebaikan dan keikhlasan sebenarnya mempunyai hubungkait yang sangat dekat dan saling melengkapi bahkan kedua elemen ini juga mempunyai persamaan iaitu pasti akan sentiasa diuji. Yakinlah, kebaikan itu pasti akan diuji akan keikhlasannya. Diuji sehingga goyah keikhlasan melakukannya, diuji sehingga hampir berputus asa dan pasti akan diuji sehingga kita sendiri ragu dengan diri sendiri.

Namun, tabahlah dan yakinlah dengan jalan yang telah kita pilih. Pasti ada sinar di hujung jalan dan janganlah sesekali berputus harap dengan kebaikan apatah lagi dengan rahmat ALLAH. Mereka yang berputus asa dengan ALLAH tiada bezanya dengan mereka yang tidak yakin dengan agamanya. Semoga kita semua dijauhkan dari sikap sedemikian.

Terus melangkah menuju kebaikan,
Pasti dikau tersenyum gembira.
Usah melangkah menuju kejahatan,
Hatimu pasti sentiasa gundah gelana.