12 May 2016

Analisa PRN Sarawak ke-11 (2016) Part 1



  • Pada 7 Mei yang lepas, di Sarawak telah berlaku 1 Pilihan Raya Negeri 2016 bagi memilih kepimpinan negeri. PRN ini diadakan pada setiap 5 tahun sekali dan keputusan kali ini menunjukkan BN menang selesa dengan memperolehi 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Dari aspek undi popular pula, BN berjaya mencatat peningkatan sebanyak 8% iaitu daripada 55% pada PRN 2011 kepada 63.88% pada PRN 2016.

  • Manakala, bagi pihak pembangkang pula, DAP hanya memperolehi 7 kerusi dan PKR sebanyak 3 kerusi. PAS dan AMANAH pula kalah di semua kerusi yang dipertandingkan. DAP juga hilang sebanyak 5 kerusi berbanding PRN 2011 dan berlaku "Giant Killing" di Piasau yang merupakan kubu kuat DAP. Manakala, PKR pula menyaksikan mereka berjaya mempertahankan 3 kerusi yang disandang sebelum ini dan berlaku pertambahan majoriti di beberapa kerusi. Bagi pihak PAS pula, mereka hilang wang deposit di 7 kerusi daripada 11 kerusi yang dipertandingkan. Sementara di pihak AMANAH pula, mereka hilang wang deposit di 9 kerusi daripada 13 kerusi yang dipertandingkan.

  • PAS dan AMANAH merupakan parti yang berasaskan agama. Pada PRN kali ini kedua pihak hanya memperoleh undi popular sebanyak 1.7% bagi PAS dan 1.24% bagi AMANAH. Hal ini membuktikan bahawa parti berasaskan agama masih belum mendapat tempat di hati masyarakat Sarawak. Jika kedua pihak masih berkira-kira mahu bertanding atau cuba mendapatkan anak sulung di Sarawak, justeru kedua pihak haruslah terus agresif dan memperkasakan jentera dalam mempromosi dan memperluaskan jenama PAS sehingga menjadi 1 norma dalam masyarakat Sarawak. Hal ini dibuktikan pada tempoh berkempen dan hari pengundian, masih ada rakyat Sarawak yang mempunyai akses maklumat yang terhad tentang PAS dan AMANAH. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi undi yang diperoleh.

  • Manakala di peringkat PKR pula, pertambahan bilangan majoriti di kerusi yang berjaya dipertahankan menunjukkan sedikit sebanyak bahawa wakil PKR berjaya melaksanakan tugas mereka selaku wakil rakyat. Hal ini dipercayai dipengaruhi oleh isu NCR yang sering diperjuangkan oleh pihak PKR. Selain daripada itu, di Telang Usan, BN hanya menang dengan majoriti kecil. Faktor majoriti yang kecil ini berhubung rapat dengan Empangan Baram yang berkait rapat dengan ekosistem. Walau bagaimanapun, PKR gagal untuk menambah sebarang kerusi dalam PRN kali ini. Antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan pertambahan kerusi adalah pertembungan sesama parti pembangkang di beberapa kerusi terutama dengan DAP sekurang-kurangnya sebanyak 6 kerusi.

  • Penurunan kerusi DAP daripada 12 kerusi kepada 7 kerusi merupakan tamparan besar bagi peringkat DAP sendiri. Jika PRU13 berlaku 'Giant Killing' di Bukit Katil, PRN kali ini menyaksikan sekali lagi ia berlaku di Piasau. Piasau merupakan salah 1 kubu kuat DAP dan faktor latar belakang calon yang ditampilkan oleh BN memainkan faktor yang kukuh dalam perampasan kerusi kali ini. Faktor kekalahan DAP di beberapa kerusi berdasarkan perpecahan dalaman dalam Pakatan Harapan. Selain daripada itu, kegagalan wakil calon yang lepas untuk menampilkan kualiti kerja yang memuaskan hati rakyat Sarawak serta kaedah kempen yang kurang digemari juga dipercayai menyumbang kepada faktor kekalahan ini.

  • Akhir kalam, jika dilihat pada setiap pertembungan sesama parti pembangkang, kita dapat melihat bahawa rakyat Sarawak ada kecenderungan untuk memilih parti yang lebih lama bertapak di Sarawak. Sebagai contoh, pertembungan antara PAS dan AMANAH menunjukkan PAS berjaya mengatasi undi berbanding AMANAH. Pertembungan antara PAS dan PKR pula akan menunjukkan PKR akan mendahului dari aspek jumlah undi. Namun demikian, Pertembungan antara PKR dan DAP menunjukkan hasil yang berbeza. Ada DUN menunjukkan DAP dan PKR mempunyai kekuatan yang setara dan ada kerusi menunjukkan sama ada PKR mahupun DAP lebih mendapat tempat di hati rakyat. Namun, ada 1 DUN pula menunjukkan kekuatan calon BEBAS lagi mendapat di hati rakyat tapi kalah tipis kepada BN kerana DAP dan PKR bertembung di kerusi yang sama.

Part 2 akan menfokuskan faktor kemenangan BN pada PRN kali ini.