Baru - baru ini Malaysia digemparkan dengan
program "I want to touch a dog" di mana program ini bermatlamat untuk
membantu orang ramai terutama orang yang beragama Islam mengatasi persepsi
negatif pada anjing. Penganjuran program seperti ini telah melahirkan pelbagai
respon baik positif atau negatif dalam kalangan umat Islam di Malaysia di mana
ia dikatakan menyentuh sensitiviti dan berbentuk provokatif kepada agama Islam.
Namun, saya tidak berminat untuk memberi
pandangan dari segi hukum akan penganjuran program. Hal ini kerana saya
berpendapat ada orang yang lebih alim dari bidang ilmunya untuk memberi ulasan
dan pendapat. Saya lebih berminat untuk memberi pendapat akan sikap yang
bersarang dalam stigma pemikiran masyarakat Muslim di Malaysia iaitu sikap responsif.
Apa yang dimaksudkan dengan sikap responsif? Kesedaran akan tugas yang harus dilakukan dengan kesungguhan dan kepekaan yang tajam dalam menghadapi
pelbagai hal yang dihadapinya serta kefahaman
makna tanggungjawab yang harus dipikul adalah antara ciri utama dalam
memiliki sikap responsif. Hal ini dapat dilihat dalam kisah nabi Sulaiman dan
burung Hud – Hud. Sikap responsif ini penting dimiliki dalam sesebuah
organisasi Islam sama ada dalam diri pucuk pimpinan waima ahli itu sendiri.
Walaubagaimanapun, dalam aspek responsif,
ramai orang tersilap dari skop penggunaannya. Hal ini dapat dibuktikan melalui
isu yang sedang “viral” di laman sosial di mana pelbagai lapisan masyarakat
berlumba – lumba mengeluarkan pendapat bahkan tidak keterlaluan saya katakan
sehingga ada yang berhujah menggunakan emosi melebihi hujah ilmu dan fakta.
Tidak kurang juga yang bersifat responsif dengan mengeluarkan hujah yang penuh
dengan sindiran, caci maki dan kata – kata keji.
Sikap responsif amat diperlukan dalam diri
seorang pimpinan dalam sesebuah organisasi agar pimpinan itu lebih peka pada
perubahan keadaan sekeliling. Namun, penyakit responsif yang sedang berlaku
dalam masyarakat di Malaysia adalah kita cepat dan ingin memberi respon pada
sesuatu isu tanpa mengkaji atau mendengar perjelasan kedua belah pihak. Daripada
1 pandang sisi, perkara ini bagus kerana melihatkan betapa kita responsif dan
sensitif akan sesuatu hal terutama berkaitan agama. Tapi, tidak dapat tidak
kita kena akui bahawa sikap ini juga kerap memakan diri kita di kemudian hari
kerana kedangkalan kita dalam menilai.
Terkadang kita kena renungi kembali adakah
penyakit responsif kita ini memberi lebih kesan positif atau negatif kepada
keadaan sekeliling. Sikap responsif ini juga adakah kita memanfaatkannya dalam
kehidupan seharian dalam aspek pekerjaan kita. Jika tidak, ia bermakna ada
sesuatu yang tidak kena pada diri kita. Kemungkinan, kita sebenarnya bukan
memiliki sikap responsif, tetapi sikap sensitif tidak bertempat. Malah, sikap sensitif ini juga hakikatnya yang banyak mengambil alih diri kita selama ini. Jika ini punca masalah kita, sesuatu harus dilakukan bagi mengubah penyakit ini dari trus menapak dalam pemikiran kita.
Akhir kata, jangan kerana sikap sensitif kita ini juga, kita sering melupakan akan kesusahan orang sekeliling kita
kerana ingin menjaga kepentingan peribadi kita. Soalan yang ingin ditinggalkan
untuk difikirkan bersama adalah, minyak, GST dan hal hal lain dah senyap ke?
Wallahualam
Melaka
10.20am